Dua ari lepas jiran aku bagitau yang abg ipar die sedang berada di wad ICU ketika ini sebab doc sahkan abg iparnye dijangkiti virus kencing tikus. Puncanya sb sblm ni diorang ade pegi mandi di sebuah jeram dekat Semenyih..takut pulak aku dengar...kt cni ade info pasal virus ni...jom bace...
Semenjak
negara digemparkan dengan berita tentang enam kematian yang disebabkan
oleh penyakit Leptospirosis dan Melioidosis. Akhbar-akhbar tempatan mula
membangkitkan isu penyakit ini, malah ada yang mengatakan bahawa
penyakit ini adalah penyakit baru dan misteri di Malaysia. Pendapat ini
adalah salah! Leptospirosis bukanlah penyakit baru di Malaysia, tetapi
ia merupakan penyakit yang jarang berlaku.
Apakah itu Leptospirosis?
Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen
genus Leptospira, yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak
langsung daripada haiwan kepada manusia.
Leptospirosis di Malaysia?
Leptospirosis di Malaysia telah dikesan buat pertama kalinya pada tahun
1925 oleh seorang saintis bernama Fletcher W. Setelah itu, para saintis
telah membuat kajian yang lebih terperinci bagi menjejaki kes-kes
Leptospirosis di Malaysia. Sebagai rumusan, para saintis mengumumkan
bahawa penyakit Leptospirosis merupakan endemik di negara kita pada
waktu tersebut.
Kes
pada tahun 1925 tersebut merupakan kes yang membawa maut (fatal case)
yang disebabkan oleh bakteria Leptospirosis icterohemorrhagiae Fletcher
W. juga telah mengenal pasti serotip-serotip lain daripada genus
Leptospira di dalam sampel-sampel biologi daripada 21 orang pesakit.
Pada tahun 1926 pula empat kes telah dikesan di Singapura (yang ketika
itu masih sebahagian daripada Malaysia) oleh saintis Galloway.
Pada peringkat awal penyakit ini dikesan di Malaysia, kebanyakan
pesakit menunjukkan simptom demam kuning (jaundis), manakala dalam
kalangan askar pula, simptom yang ditunjukkan adalah demam panas.
Bilangan kes dan kematian yang disebabkan oleh Leptospirosis pada waktu
itu sangat membimbangkan. Para saintis telah menggelar penyakit ini
sebagai penularan penyakit baru dalam kalangan masyarakat Malaya.
Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2006, sebanyak 527
kes leptospirosis telah dicatatkan, dan pada tahun 2007 pula, terdapat
peningkatan kes sebanyak 929 kes dilaporkan. Pada tahun 2010, negara
digemparkan dengan berita kematian enam individu akibat Leptospirosis
dan Melioidosis Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran. Terbaru, sebagaimana yang
dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan, seorang anggota bomba merupakan
korban terbaru penyakit ini, yang sekali gus menjadikan angka korban
yang kelapan dalam selang masa kurang sebulan.
Apakah penyebab Leptospirosis?
Leptospirosis disebabkan oleh bakteria gram negatif dari genus
Leptospira. Leptospira pertama kali dikenal pasti sebagai penyebab
Penyakit Weil di Jepun, yang biasa berlaku ke atas pelombong arang batu.
Genus Leptospira mempunyai sekurang-kurangnya 18 spesies dikelaskan
berdasarkan hubungkait DNA dan lebih daripada 300 serotip berdasarkan
ujian makmal.
Leptospirosis yang tergolong dalam kelas zoonosis merupakan penyakit
berjangkit paling umum menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan di
dunia. Penyakit Weil pula adalah sejenis Leptospirosis tahap serius.
Apakah jenis-jenis haiwan yang boleh menjadi reservoir kepada bakteria ini?
Tikus dan haiwan domestik seperti lembu, khinzir dan anjing sering
menjadi reservoir utama bagi bakteria genus Leptospira ini. Haiwan yang
telah dijangkiti dengan Leptospira boleh merembeskan bakteria tersebut
melalui air kencingnya secara berperingkat-peringkat atau secara
berterusan selama berbulan-bulan. Terdapat ada juga kes yang dilaporkan
hingga bertahun-tahun haiwan itu masih boleh merembes bakteria tersebut.
Malahan, haiwan yang telah mendapat vaksinasi juga boleh merembeskan
bakteria ini melalui air kencingnya.
Bagaimanakah bakteria ini boleh tersebar?
Leptospirosis boleh menjangkiti manusia secara langsung mahupun tidak
langsung melalui pendedahan kepada air kencing haiwan pembawa tersebut.
Bakteria genus Leptospira ini boleh memasuki saluran darah melalui luka,
kulit yang melecet dan melalui membran bermukus seperti mata, hidung
dan mulut. Leptospirosis turut disebarkan melalui air mani haiwan yang
dijangkiti. Pekerja rumah penyembelihan boleh dijangkiti melalui
sentuhan dengan cecair badan dan darah.
Manusia boleh dijangkiti melalui pendedahan kepada air, makanan atau
tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti bakteria ini. Ini
juga mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari, atau
melalui sentuhan luka pada kulit
Leptospirosis yang sering menerima jolokan demam `swamp’ atau lumpur,
ini mulai ‘membina reputasi’ sebagai penyakit pekerjaan dalam kalangan
tukang paip dan pekerja loji kumbahan sekitar tahun 1883. Lantas tidak
hairanlah apabila kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada kes
Leptospirosis yang melibatkan manusia berlaku di tempat kerja.
Walaupun Leptospirosis dilabelkan sebagai penyakit pekerjaan
(occupational disease) tetapi di negara-negara endemik, aktiviti
rekreasi dan pengembaraan boleh menjadi faktor risiko utama pendedahan
kepada bakteria genus Leptospira ini. Selain itu, orang awam juga boleh
terdedah kepada bakteria ini melalui permukaan air bertakung,
terutamanya selepas hujan dan banjir. Kawasan yang kotor dan tidak
terjamin tahap kebersihannya, adalah lebih berisiko tinggi untuk menjadi
kawasan Leptospira.
Jangkitan daripada manusia kepada manusia lain bagi penyakit ini jarang
berlaku. Tetapi Leptospirosis ini masih boleh menular melalui hubungan
seksual dan melalui penyusuan badan. Bakteria Leptospira masih boleh
menjangkiti manusia lain melalui urin walaupun setelah berbulan-bulan
selepas jangkitan.Oleh kerana terdapat pelbagai jenis serotip bakteria
Leptospira, maka seseorang pesakit yang telah sembuh daripada penyakit
Leptospirosis boleh dijangkiti dengan strain lain dan boleh terus
menyebarkan penyakit itu lagi.
Apakah tanda-tanda dan simptom-simptom Leptospirosis?
Petanda-petanda
seperti demam panas, sakit-sakit otot, sakit kepala, muntah,
cirit-birit dan mata merah merupakan antara simptom yang dialami oleh
pesakit-pesakit Leptospirosis.
Ruam, demam kuning dan sensitiviti mata terhadap cahaya mula menyerang
beberapa hari setelah simptom-simptom di atas mula reda. Penglihatan
pesakit pula menjadi sedikit kabur. Simptom-simptom ini boleh
berlanjutan sehingga beberapa hari dan mungkin juga berterusan selama
berminggu-minggu.
Simptom-simptom leptospirosis lazimnya kelihatan begitu umum dan
pesakit biasanya beransur pulih selepas kira-kira lima hari. Jadi, tidak
mustahil pada kebanyakan masa, ia sering disalahdiagnosiskan sebagai
demam panas, selesema atau petanda biasa yang lain.
Leptospirosis ini boleh menjadi lebih kronik. Ini merangkumi Penyakit
Weil, yakni kegagalan ginjal, sakit kuning dan perdarahan pada kulit dan
selaput lendir. Meningitis (radang selaput otak) dan pendarahan di
paru-paru juga boleh berlaku. Leptospirosis juga lambat-laun boleh
membawa maut.
Apakah kesan jangka panjang Leptospirosis?
Proses penyembuhan Leptospirosis memakan masa yang lama.
Pesakit-pesakit Leptospirosis kadangkala mengalami keletihan kronik yang
berlarutan selama berbulan. Malah, ada juga pesakit yang mengalami
depresi dan sakit kepala yang berterusan. Kadangkala bakteria Leptospira
ini boleh tinggal di dalam mata untuk satu masa yang lama dan
mengakibatkan radang mata yang serius dan kronik.
Siapakah golongan-golongan berisiko tinggi?
Golongan yang kerap terdedah kepada haiwan seperti pekerja zoo,
veterinar dan mereka yang membela haiwan peliharaan adalah termasuk
dalam golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat Leptospirosis. Selain
itu, mereka yang bekerja sabagai peladang, pekebun dan rumah
penyembelihan juga berisiko tinggi untuk terdedah kepada air, lumpur,
tanah yang telah dikontaminasi oleh urin haiwan yang telah dijangkiti.
Golongan
penggemar aktiviti sukan air atau rekreasi juga mempunyai risiko
pendedahan terhadap air yang dikontaminasikan oleh urin haiwan pembawa
seperti tikus, anjing atau khinzir. Ada juga kajian dari Australia yang
mengatakan bahawa lelaki adalah lebih kerap dijangkiti Leptospirosis
berbanding wanita.
Bagaimana diagnosis bagi mengesahkan penyakit ini?
Seseorang doktor mungkin mengesyaki Leptospirosis pada seorang pesakit
yang mengalami simptom 1-2 minggu selepas terdedah pada urin haiwan
pembawa tersebut. Leptospirosis hanya boleh disahkan melalui ujian darah
yang menunjukkan kehadiran bakteria Leptospira.
Untuk membuat diagnosis Leptospirosis, dua ujian darah berasingan perlu
diambil dalam tempoh lebih daripada dua minggu. Selain itu, bakteria
Leptospira juga boleh didapati dari darah, cecair tulang belakang kepada
otak dan air kencing.
Apakah langkah pencegahan bagi penyakit ini?
Leptospirosis adalah penyakit yang boleh dielakkan. Beberapa tip
langkah penjagaan boleh diamalkan bagi mencegah pendedahan kepada
bakteria Leptospira. Tutup luka dan lecetan kulit dengan balutan yang
kalis air sebelum anda memulakan aktiviti/kerja di ladang/kebun atau
tempat-tempat yang berpotensi untuk pendedahan kepada bakteria ini
Pakai pakaian pelindung seperti sarung tangan, pelindung mata atau
gogel, apron dan but apabila bekerja di ladang ataupun bekerja dengan
haiwan-haiwan yang berpotensi untuk dijangkiti dengan Leptospira,
terutamanya apabila anda berpotensi untuk terdedah pada urin haiwan
tersebut. Bersihkan diri dan tangan selepas membuat kerja-kerja di
ladang dan kebun
Pastikan anda tidak makan atau merokok semasa berada berhampiran dengan
haiwan-haiwan yang mungkin dijangkiti ataupun semasa bekerja di
kebun/ladang yang anda mungkin terdedah pada tanah yang telah
dikontaminasi dengan bakteria tersebut.
Elakkan aktiviti rekreasi atau berenang di tempat-tempat yang
berkemungkinan dicemari oleh urin haiwan Kawal kehadiran tikus di tempat
anda dengan memastikan kebersihan yang optimum. Buang semua sampah
sarap dan kemaskan buangan sisa makanan, bagi mengelak kehadiran tikus
Sebelum minum atau membuka makanan di dalam tin, pastikan anda
membasuh/membilas penutupnya terlebih dahulu bagi mengelak kemungkinan
dijangkiti bakteria ini. Tin-tin ini mungkin terdedah pada urin haiwan
pembawa Leptospira ketika di dalam stor.
Pastikan haiwan peliharaan anda mendapat vaksin dan rujuk kepada Klinik
Veterinar bagi mengelak haiwan peliharaan anda daripada dijangkiti
bakteria Leptospira.
Apakah rawatan bagi Leptospirosis?
Leptospirosis biasanya dirawat dengan antibiotik seperti doxycycline
atau penicillin. Ujian dan diagnosis mengambil masa yang lama dan
pesakit boleh menjadi lebih parah jika terus menunggu. Oleh itu, doktor
akan memulakan rawatan dengan pengambilan antibiotik sebelum mengesahkan
pesakit dengan Leptospirosis. Rawatan antibiotik adalah kaedah yang
paling efektif untuk Leptospirosis jika rawatan itu dimulakan awal.
Safra Aina Adnan
FOMCA
No comments:
Post a Comment